fadhlijamal

Sunday, July 15, 2007

Penulis ‘wajib’ melakukan editing sendiri.

Ada penulis yang menganggap mereka tidak perlu edit karya mereka sendiri. Selesai menaip ayat terakhir, baca sekali lalu dan terus hantar kepada penerbit. Satu kesalahan besar. Penulis wajib menyunting karya mereka sendiri, bukan secara sambil lewa tetapi bersungguh-sungguh. Jadi, editor buat apa? Goyang kaki sahaja? Tidak, peranan editor adalah jauh lebih penting daripada membetulkan kesalahan ejaan. Mereka perlu menyunting bukan setakat tatabahasa, struktur ayat dan ejaan, malah mereka juga perlu memastikan cerita anda menarik untuk tatapan pembaca; satu kerja yang amat sukar.

Sebagai penulis, anda bertanggungjawab untuk mengulang semak kerja anda sekurang-kurangnya dua kali. Untuk kali yang pertama, anda perlu menyemak watak-watak dan jalan cerita skrip anda. Adakah pembaca akan terus membaca karya anda? Adakah watak-watak di dalam cerita anda betul, tidak bercampur-aduk atau tersalah eja?

Manuskrip yang kemas akan memudahkan editor membaca dan seterusnya menilai karya anda. Percayalah, editor juga manusia, jika terlalu banyak kesalahan sehingga mengganggu pembacaan, sudah tentu editor-editor ini akan berasa rimas dan meletakkan kerja anda ke tepi. Oleh itu, pastikan sebelum menghantar karya anda kepada KarnaDya, karya anda telah disemak dan sekurang-kurangnya bebas daripada kesalahan ejaan.

Manuskrip-manuskrip yang bercelaru akan kami hantar kembali kepada penulisnya.