fadhlijamal

Wednesday, August 29, 2007

Penulis Profesional yang Profesional

Bukan mudah untuk menjadi penulis. Susah untuk menjadi penulis profesional. Amat sukar untuk menjadi penulis yang profesional.

Apabila buku anda diterbitkan, anda secara rasminya bergelar penulis.

Untuk menjadi penulis profesional, anda perlu mempelajari seberapa banyak ilmu yang boleh di dalam bidang penulisan supaya anda menjadi bertambah mahir, cekap dan boleh menulis dengan efektif. Penulis jenis ini digemari penerbit kerana mereka dapat memberikan manuskrip yang berkualiti tinggi dan membawa bisnes kepada penerbit.

Untuk menjadi penulis yang profesional, anda perlu mempunyai sikap dan mentaliti kelas pertama. Anda perlu melatih diri supaya sentiasa bersikap profesional dalam semua hal; terutamanya hal-hal yang melibatkan kerjaya anda sebagai seorang penulis. Saya mengatakan 'amat sukar' untuk menjadi seorang penulis yang profesional kerana ia hanya boleh dicapai dengan kematangan fikiran. Bukan mudah untuk mengubah mentaliti seseorang.

Penerbit mudah tertawan dengan golongan penulis seperti ini kerana segala urusan dengan mereka mudah dijalankan. Penulis yang profesional bijak berkomunikasi dengan pihak penerbit dan sentiasa memahami kehendak penerbit. Mereka sentiasa bertindak menggunakan akal dan bukannya emosi.

Golongan ini tidak semestinya dapat menyediakan bahan yang terbaik kepada penerbit. Namun, penerbit mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap potensi mereka dan akan sentiasa mencari jalan untuk memajukan mereka. Adalah tidak sukar untuk pihak penerbit mengenalpasti golongan ini kerana e-mel penulis yang pertama kepada pihak penerbit sudah memadai untuk menunjukkan tahap 'profesionalisma' seseorang penulis.

Jadilah penulis profesional yang profesional !